Friday 15 February 2013

Contoh Penulisan Jurnal 1

PENULISAN JURNAL REFLEKTIF
MINGGU PERTAMA
( 21 JANUARI 2013 – 25 JANUARI 2013)
ISU : PENGURUSAN MASA

1.  Masalah :
Pada minggu ini,masalah yang saya hadapi adalah pengurusan masa yang tepat sebagaimana yang telah saya rancangkan di dalam rancangan pengajaran harian yang telah dibuat.

Terdapat aktiviti yang telah dirancangkan tidak dapat dijalankan kerana masa yang tidak mencukupi dan bimbang jika terambil masa guru untuk mata pelajaran selepasnya.

2. Perkembangan isu yang difokuskan :
Apa yang dapat saya lihat masalah ini bermula dari hari pertama saya mendapat jadual waktu kelas di mana saya juga mempunyai masalah untuk menguruskan masa di antara waktu kelas Kemahiran Hidup dan juga kelas Bahasa Melayu kerana saya memerlukan masa yang lebih awal untuk kelas Kemahiran hidup kerana untuk menyediakan peralatan tangan untuk murid-murid.

3. Analisis :
Masalah yang timbul berkenaan perancangan masa kerana semasa saya menerangkan set induksi ianya adalah terlalu panjang menyebabkan aktiviti dan isi pelajaran yang telah saya rancangkan terpaksa dilaksanakan secara pantas dan menyebabkan murid belajar dalam keadaan tidak bersedia dan fokus terutama bagi kelas 4 Tekun yang mempunyai masalah pembelajaran yang ketara.

Begitu juga ketika aktiviti kumpulan dijalankan,ia mengambil masa yang lama dari yang dirancangkan.

Ini dapat dilihat apabila murid berasa teruja dengan sesuatu aktiviti yang dijalankan secara tidak langsung mengakibatkan terlalu tertumpu kepada satu-satu aktiviti sahaja.

Namun apa yang saya perolehi hasil daripada pemerhatian saya terhadap murid mendapati bahawa murid lebih memahami pengajaran dan pembelajaran secara lebih mendalam kerana apabila dilakukan aktiviti berkumpulan murid sangat memberi kerjasama sehingga mereka tidak sedar akan masa yang bergerak pantas.

Namun saya juga perlu mempertimbangkan bahawa penguasaan terhadap masa adalah penting agar murid lebih mencapai objektif yang telah disasarkan kepada mereka.

4. Kajian lampau yang berkaitan isu :
Good,1973 : Pengurusan masa ialah perancangan masa yang berkesan sama ada secara harian,mingguan atau jangka masa yang panjang untuk memberikan masa bagi aktiviti Kuliah,belajar ,rehat,riadah,dan tanggungjawab.

Kajian kes : Seorang guru Bahasa Melayu masuk ke bilik darjah dua puluh minit lewat.Beliau mengajar secara tergopoh gapah kerana ingin menghabiskan masa,beliau tidak memberi peluang untuk menyoal atau melakukan sesi perbincangan mengenai topik yang ingin diajar.Adakalanya,beliau terpaksa mengambil waktu yang berikutnya kerana perlu menyelesaikan tugasnya serta menghabiskan sukatan pelajaran.

5. Cadangan :
Saya perlu membaiki pengurusan masa saya dari semasa ke semasa dan memperbaikinya dengan memperbanyakkan maklumat dan pengetahuan tentang pengurusan masa.

Saya akan memperbanyakkan aktiviti yang menarik minat murid dengan matapelajaran Kemahiran Hidup dan meningkatkan sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer.


Saya akan mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada pensyarah pembimbing,guru pembimbing dan guru-guru di samping berbincang dengan rakan-rakan lain.

6. Tempoh masa:
Saya akan cuba mengatasi masalah ini secepat mungkin.Pengurusan masa yang baik adalah yang utama untuk mencapai objektif yang telah dirancangkan.

7. Tindakan susulan:
Tindakan yang dapat saya buat bagi mengatasi masalah ini adalah dengan menyediakan rancangan pengajaran harian pada masa tersebut mengikut kehendak masa dan tahap penguasaan dan kefahaman murid-murid serta perlu menitik beratkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian mengikut ketetapan masa.

8. Penilaian kejayaan/ Pelaksanaan terhadap langkah-langkah penambahbaikan:
Saya akan meminta pandangan dari pensyarah pembimbing saya untuk memberi penilaian dan komen tentang tahap penilaian kejayaan saya agar saya akan dapat memperbaiki segala kelemahan dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan penambahbaikan :
  • Mengkaji kesilapan
  • Merancang aktiviti yang bersesuaian dengan masa
  • Berbincang dan meminta pandangan guru pembimbing dan pensyarah pembimbing.
  • Merangka pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.


9. Kesimpulan/Refleksi :
Saya perlu mengkaji semula apa kesilapan dan strategi yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.Langkah yang terbaik adalah dengan berbincang dan meminta pandangan daripada guru pembimbing dan pensyarah pembimbing agar mendapat tips yang berguna untuk diaplikasikan.

Menjadi persoalan sekiranya tidak dapat menguruskan masa dengan baik adakah segala perancangan yang telah diatur akan berjaya?

Oleh
Mohd Faiq/IPGK Perlis
25 Januari 2013

No comments:

Post a Comment