Monday 24 February 2014

P6-M1-2014-Jurnal Minggu 1



P6-M1-Jurnal minggu pertama praktikum
Bilangan Jurnal 
Minggu  Praktikum
Tarikh Peristiwa / Kejadian   
:
:
:
:
Ke-1
Pertama
26 - 29 Januari 2014
Minggu Pertama Di SK Tengku Mahmood Iskandar 2

Pada hari pertama, saya dan rakan saya telah melapor diri kepada Puan Hjh. Shafila binti Jumaat, Guru Besar, SK Tengku Mahmood Iskandar 2, Pontian. Setelah memperkenalkan diri dan menyerahkan surat pengenalan diri kepada beliau, kami telah diarahkan untuk mengikuti perhimpunan di astaka sekolah. Semasa perhimpunan, kami telah diperkenalkan kepada semua warga sekolah. Kami berasa gembira kerana kedatangan kami disambut dengan baik oleh warga sekolah.

Kemudian, Guru Besar memberi taklimat kepada saya dan rakan saya tentang pelbagai perkara berkaitan dengan sekolah, termasuklah  sejarah, peraturan, disiplin dan budaya sekolah. Selain itu, beliau juga memberitahu tentang latar belakang murid dan masyarakat setempat serta pengelolaan aktiviti kokurikulum dan maklumat-maklumat lain yang berkaitan.

Selain itu, saya juga telah menerima jadual praktikum. Saya telah diminta untuk mengajar subjek Matematik dan Pendidikan Moral. Saya telah diarahkan untuk  mengajar murid-murid Kelas Tahun 3 Arif bagi matapelajaran Matematik dan Kelas Tahun 4 Arif dan 4 Bijak bagi matapelajaran Pendidikan Moral. Saya akan menggunakan sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Selepas waktu rehat kami diperkenalkan kepada guru-guru dan staf sokongan. Selepas kami dibawa oleh Guru Besar, saya berjumpa dengan CikguYasmin binti Mohd. Salleh, guru pembimbing praktikum saya. Beliau telah memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada saya tentang jadual waktu, sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, panduan guru dan rancangan semester.

Sepanjang minggu pertama ini, lebih menjurus kepada sesi suai kenal di sekolah. Saya berasa amat bertuah kerana mendapat guru pembimbing yang amat prihatin dan tidak lokek dalam berkongsi pengalaman dan ilmu. Pelbagai tips dan panduan diberi kepada saya supaya perjalanan praktikum saya akan lancar. Pada minggu pertama ini, saya belum mula mengajar kerana waktu pengajaran dan pembelajaran masih diambil oleh guru mata pelajaran kerana beliau perlu menghabiskan sukatan pelajaran sebagaimana yang telah dirancangkan. Dengan ini, saya telah berkesempatan untuk melihat guru matematik bagi Tahun 3 Arif mengendalikan P&P sepenuhnya iaitu mengajar mata pelajaran Matematik Tahun 3. Peluang ini akan saya manfaatkan dengan mendekatkan diri dengan murid-murid yang bakal diajar.

Tambahan pula, saya juga telah berjumpa dengan guru mata pelajaran Pendidikan Moral, iaitu Cikgu Jhanki, beliau sudi berkongsi cerita, pengalaman, tingkah laku murid serta bagaimana mahu menarik perhatian murid. Tidak begitu sahaja, semua guru kelihatan baik-baik belaka dan menerima kami dengan hati yang terbuka. Mereka juga memberikan kerjasama yang baik terhadap diri kami yang mana kurang pengalaman secara praktikal dalam menghadapi situasi sebenar.

Kesimpulannya, pengalaman seminggu berada di sekolah ini sedikit sebanyak memberi input berguna untuk saya bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan bukan saja untuk praktikum kali ini tetapi juga dalam profesion perguruan kelak. 


SK Tengku Mahmood Iskandar 2,
Jalan Abas 82000 Pontian,
Johor
24/02/2014

No comments:

Post a Comment