Thursday 18 April 2013

P3-Jurnal Minggu 9


Bilangan Jurnal : 8
Minggu  Praktikum: Minggu 9
Tarikh Peristiwa / Kejadian   199-22 Mac 2013
Tajuk Jurnal : Minggu Peperiksaan di SK Bandar T6, Taman Sri Lambak, Kluang




      Bermula pada hari Selasa, Sekolah Kebangsaan Bandar T6 telah mengadakan satu ujian bertulis rasmi (Ujian 1/2013). Semua pelajar tahap dua iaitu  pelajar tahun 4, 5, dan 6 telah terlibat dengan ujian ini. Ujian ini merupakan ujian bertulis rasmi yang pertama diadakan pada tahun ini untuk mengukur tahap seseorang murid itu telah menguasai sesuatu mata pelajaran itu mengikut tajuk dan topik yang telah dipelajari.

     Minggu peperiksaan dimulakan dengan subjek teras dahulu seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Subjek yang lain seperti Kemahiran Hidup pula dijalankan pada hari khamis bagi tahun 4 dan 5 sahaja kerana tahun 6 tidak mengambil ujian bagi subjek lain selain subjek teras.

    Pengalaman yang dilalui semasa menjaga peperiksaan merupakan pengalaman pertama saya sepanjang menjadi guru praktikum di tiga buah sekolah. Saya juga telah terlibat sebagai pengawas dan pemeriksa bagi kelas-kelas yang saya ajar. Sebelum peperiksaan bermula, saya perlu mengambil dahulu kertas peperiksaan di bilik peperiksaan. Kemudian, apabila kertas soalan sudah diedarkan, saya akan membacakan arahan serta peraturan peperiksaan seperti dilarang meniru rakan sebelah ataupun merujuk sebarang jenis buku semasa peperiksaan sedang dijalankan.

    Saya juga ditugaskan untuk menanda kertas jawapan Kemahiran hidup tahun 4 dan 5 serta kertas pemahaman tahun 4 bagi kelas yang saya ambil alih. Saya mendapati bahawa bagi kertas soalan tahun 4, soalan yang terkandung dalam kertas peperiksaan tersebut kurang mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi kerana terdapat beberapa soalan yang merangkumi tajuk yang masih belum lagi diajar oleh saya dan rakan-rakan praktikum yang lain. Terdapat arahan soalan yang mengelirukan dan memerlukan guru untuk menerangkan secara terperinci tentang soalan tersebut. Bagi kertas soalan Kemahiran Hidup tahun 5 pula, saya dapati walaupun tajuk-tajuk tersebut pernah dipelajari oleh pelajar, namun soalan bahagian b agak sukar kerana murid kebanyakannya terkeliru tentang maklumat terkandung dalam buku idea dengan ciri –ciri buku idea. Namun, bagi kelas 5 Yakin yang saya ambil alih saya dapati semuanya lulus.

    Sepanjang mengawas pelajar-pelajar menjawab kertas soalan, saya dapati terdapat beberapa orang pelajar tahun 6 yang cuba untuk meniru rakan dengan cara bertanya kepada rakan sebelah untuk mendapatkan jawapan bagi mata pelajaran Sains. Saya telah berjaya menangkap pelajar tersebut dan seterusnya memberikan amaran supaya dia tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi.

  Selain itu, pengalaman yang menarik sepanjang saya menjaga peperiksaan adalah apabila terdapat pelajar tahun 4 yang menangis dan meminta saya melanjutkan masa kerana dia tidak dapat menyiapkan soalan matematik. Pada mulanya saya agak keliru untuk membuat keputusan kerana sejurus selepas peperiksaan matematik, mereka akan terus memduduki peperiksaan Pendidikan Agama Islam. Langkah yang saya ambil ialah bertanya kepada guru lain tentang masalah tersebut dan beliau mencadangkan supaya mengabaikan permintaan pelajar tersebut kerana masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan sememangnya telah tamat dan mereka perlu menjawab soalan Pendidikan Agama Islam pula selepas itu. Namun, saya tetap memberikan pelajar-pelajar kelas tahun 4 tersebut masa tambahan selama 5 minit kerana mereka semua tidak dapat menyiapkan kertas soalan tersebut. Masa 5 minit tersebut saya berikan supaya mereka dapat menyemak semula jawapan serta nama dan kelas yang perlu ditulis pada bahagian depan muka soalan.

  Secara kesimpulannya, saya merasakan bahawa pengalaman ini sememangnya pengalaman baru yang menyeronokkan kerana saya telah berpeluang menjaga kelas-kelas semasa peperiksaan dan juga berpengalaman belajar menanda kertas soalan Kemahiran Hidup tahun 4 dan 5 serta Bahasa Melayu Pemahaman tahun 4. Saya berharap semoga pengalan ini dapat saya gunakan untuk masa yang akan datang apabila saya telah menjadi guru sebenar kelak.

No comments:

Post a Comment